CARA MUDAH AJAR ANAK MEMBACA! TIPS AJAR ANAK MEMBACA

Memupuk minat membaca mestilah bermula dari rumah. Rumah adalah syurga bagi keluarga. Memang teruja apabila melihat kanak-kanak seawal 3-4 tahun boleh membaca buku dengan cukup lancar. Zaman sekarang, tidak perlu tunggu sehingga anak pergi ke tadika. Semuanya boleh diajarkan di rumah. Mari kita lihat apa tips mudah ajar anak agar cepat membaca.

1

PILIH TEMPAT YANG SELESA UNTUK MEMBACA

Pastikan tempat yang selamat dan selesa. Yang lebih penting, tempat yang ada banyak lampu. Bila selesa, lebih banyak muka surat yang dia suruh kita baca.

2

 BACA BUKU UNTUK ANAK-ANAK

Kalau mahukan mereka minat membaca, bacakan buku pada anak-anak. Untuk anak sekecil 2-3 tahun, jika ibu-bapa selalu membaca buku ‘favourite’ mereka, jangan terkejut jika anak boleh hafal segala isi cerita dalam buku tersebut. Walaupun dengan pelat-pelat mereka, kita boleh mendengar butiran yang keluar dari mulut anak-anak. Tidak percaya? Cubalah dahulu.

3

JADIKAN MEMBACA SATU RUTIN


Balik rumah, terus buka Astro. Ada ibu-bapa, terus buka Channel 611 atau lain-lain ‘channel’ agar anak tidak mengganggu. Bagaimana kalau waktu yang singkat ini, kita baca buku bersama-sama anak. Jika dilakukan setiap hari, tanpa disuruh, anak akan ambil buku mereka dan suruh kita baca. Sejurus habis, dia akan suruh baca lagi. Memang tampak penat, tapi percayalah, penat lelah anda akan berbaloi beberapa tahun lagi.

4

JADI CONTOH YANG BAIK

Bagaimana anak mahu membaca buku jika ibu-bapa tidak menunjukkan perilaku dan contoh yang baik? Orang kata, “Leadership by example” atau dalam Bahasa Melayu, “Kepimpinan melalui teladan”. Kalau anak asyik nampak ibu-bapa mereka asyik main telefon bimbit sahaja, bagaimana mereka mahu mencontohi mereka?

5

TANYA SOALAN PADA ANAK

Anak suka bila kita tunjukkan minat. Bila ada gambar-gambar dalam buku, tanya dia kenapa gambar itu begitu begini. Contohnya, jika baca buku ‘Ugly Duckling’, ada seekor itik yang berwarna lain dari yang lain.
Cuba tanya anak, “Kenapa dia sedih? Kenapa itik lain tak kawan dengan dia?”. Anak akan tersenyum apabila mendengar jawapan dari mereka. Ada yang masuk akal, ada yang terlalu melucukan. Selitkan juga nasihat pada anak, “Nanti adik dah besar, jangan jadi macam itik-itik yang lain ni ye. Kawan dengan semua orang tau”.

6

TAMPAL ABJAD ABC DI DINDING BILIK TIDUR

Ada banyak produk yang dijual di kedai buku yang mengandungi senarai A-B-C berserta gambar yang boleh kita beli. Tampal di bilik tidur mereka. Setiap hari, mereka akan nampak dan secara ‘subconscious’ mereka akan hafal abjad tersebut.

Sekarang, bagaimana kalau kita tampal tulisan jawi pula? Tentu mereka cepat tangkap satu hari nanti.


Kesimpulan
Apa yang penting ialah kesudian ibu-bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Faham, ramai yang sibuk dan tidak ada masa untuk anak sendiri. Namun percayalah, pelaburan masa untuk anak sungguh berbaloi.

Semoga berjaya!

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *