“Umur berapa patutnya mula latih anak berpuasa ya? Rasa kasihan pula nak suruh dia berlapar. Dahlah pertama kali ni.”
Dalam menyambut bulan Ramadhan, tentu ramai anak kecil dan ibu bapa yang teruja untuk berpuasa. Tetapi, bukan mudah melatih anak kecil untuk mula berpuasa seperti orang dewasa. Dari segi fizikalnya, mereka ini tidak berpengalaman dan masih belum cukup memahami tentang kewajipan berpuasa secara mendalam.
BILAKAH PATUT AJAR ANAK BERPUASA?
Menurut Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Fadzillah Ghazali melalui sebuah artikel, tiada usia yang ditetapkan bagi kanak-kanak untuk mula melatih diri berpuasa. Ia perlu dilakukan secara berperingkat dan ibu bapa adalah individu yang lebih arif untuk menyesuaikan latihan berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.
Dari sudut pandangan Islam pula, umumnya kita tahu bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, sebahagian fuqaha berpendapat bahawa anak yang berusia 7 tahun diperintahkan untuk berpuasa jika mereka mampu, sebagaimana usia yang diperintahkan untuk solat.
Berikut adalah beberapa tips untuk ajar anak berpuasa sejak kecil.
1. PERIKSA KEMAMPUAN ANAK
Penting untuk ibu bapa memahamkan anak tentang keutamaan solat berbanding puasa. Libatkan mereka dalam solat sehari-hari dan dari situ, anda akan mendapati lebih mudah untuk anak memahami dan menjalankan ibadah puasa dengan rela hati.
Oleh itu, jangan membandingkan anak anda dengan orang lain. Sebaliknya, lihatlah kemampuan anak sendiri sama ada mereka bersedia untuk melakukan ibadah puasa.
2. RANCANG SECARA BERPERINGKAT
Bagi yang pertama kali berpuasa, latihlah mereka secara berperingkat. Menurut Dr Fadzillah lagi, ibu bapa boleh memulakan dengan beberapa jam terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan separuh hari dan seterusnya beberapa hari mengikut kemampuan anak.
3. SEDIAKAN JADUAL AKTIVITI
Apabila anak berpuasa nanti, mungkin anak akan kurang aktif kerana letih. Oleh itu, anda boleh cari idea-idea menarik atau DIY untuk mereka membuat aktiviti indoor yang melekakan. Antaranya mewarna, menghias rumah, bermain play doh, blok binaan, melukis, membaca buku cerita, atau membuat kraf.
4. HIDANGKAN MAKANAN KEGEMARAN UNTUK BERSAHUR & BERBUKA
Ibu-ibu perlu lebih kreatif di bulan Ramadhan ini dalam memastikan anak-anak mengambil keperluan makanan yang seimbang ketika bersahur dan berbuka. Carilah resepi yang menggabungkan makanan kegemaran mereka dengan keperluan sihat seperti nugget bersayur atau smoothie kurma dan coklat.
5. LEWATKAN WAKTU SAHUR MEREKA
Anak-anak mungkin ‘liat’ untuk bangun pagi, apatah lagi bersahur. Kalau anak dibangunkan terlalu awal, kemungkinan besar mereka akan tertidur semula sebelum sempat menunaikan solat Subuh. Sebaiknya, anda juga berbual-bual dengannya, menyalakan lampu yang terang, dan menjadikan suasana bersahur meriah agar mereka tidak mengantuk.
6. BOLEH BERBUKA, TAPI KEKALKAN MOOD PUASA
Ada 1 tip menarik yang pernah dikongsikan oleh seorang Pengetua Sekolah. Beliau berkata, bila anak mengadu lapar, bagi dia minum segelas susu dan makan sekadarnya. Kemudian, beritahu elok-elok, “Lepas ini kita cuba puasa balik ya.” Maksudnya, apa yang mereka makan itu ibarat sahur semula. Mudah-mudahan dengan cara ini juga, mereka dapat belajar juga untuk menghormati bulan puasa dan rasa gembira apabila berbuka dengan ibu bapa sewaktu Maghrib nanti.
7. BERI PUJIAN DAN KATA POSITIF
Apabila anak berjaya berpuasa mengikut waktu tertentu, ucapkan tahniah kepada mereka. Walaupun 2-3 jam, walaupun setengah hari.
Jika mereka nampak seperti mahu berputus asa, berikan galakan. Mereka bukannya sengaja mencari alasan bermanja, tetapi sebenarnya sokongan ibu bapa amat diperlukan pada ketika ini. Jadi, anda perlu bersedia meluangkan masa untuk mereka.