5 TIP BERAYA UNTUK IBU AYAH YANG ADA ANAK KECIL

Hari Raya tidak lengkap tanpa melakukan budaya berkunjung ke rumah sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Setahun sekali berjumpa mengeratkan silaturahim sememangnya amalan mulia.

Adat hidup berkeluarga, sudah pasti anak-anak akan turut dibawa bersama berhari raya. Selain mengajar mereka tentang budaya kunjung mengunjung, inilah masa untuk membawa anak berjalan.

Namun, ada juga ibu bapa yang memilih tidak mahu pergi menziarah rumah sanak saudara kerana ada anak kecil yang lasak. Alasannya bimbang anak meragam dan merosakkan perhiasan rumah orang!

Mungkin tip beraya dengan anak kecil ini boleh anda praktiskan.

1. Pilih waktu sesuai untuk beraya

Seeloknya ada anak kecil jangan pergi beraya ke rumah orang pada waktu tengahari hingga ke petang kerana ketika itu waktu tidur mereka. Bimbang nanti si kecil meragam hendak tidur. Susah pula papa dan mama hendak bersembang.

2. Galakkan anak bersosial

Anak kecil cepat berasa bosan. Sekiranya rumah yang dikunjungi mempunyai kanak-kanak lain, galakkan anak anda untuk berkawan dan bermain bersama. Sekurang-kurangnya mereka belajar bersosial dan berkenalan dengan orang lain.

3. Pesan dari rumah

Beritahu anak ke mana tujuan kita pada hari tersebut. Pesan kepada mereka agar berkelakuan sopan sepanjang berada di rumah orang. Pesanan tersebut mesti diberitahu berulang kali sejak dari rumah lagi.

4. Pantau pergerakan anak

Walaupun papa dan mama gembira dan asyik bersembang tetapi  jangan sesekali abaikan pergerakan anak sepanjang di rumah orang. Mungkin boleh bergilir antara suami isteri untuk memerhatikan pergerakan anak.

Pastikan mereka hanya bermain di hadapan anda sahaja. Jangan sampai anak anda masuk bermain hingga ke bilik tidur tuan rumah pula!

5. Jangan lama sangat Papa Mama

Ingatlah yang anda kini mempunyai anak kecil jadi janganlah lama sangat beraya di rumah orang. Anak kecil cepat bosan dan mereka tidak faham mengapa perlu lama di rumah orang. Yang penting anda sudah bertemua sanak saudara mengeratkan silaturahim.

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *