7 PERKARA IBU AYAH PERLU PEKA TENTANG RABUN & KEROSAKAN MATA PADA ANAK

1. JENIS KEROSAKAN MATA PADA ANAK

Terdapat beberapa jenis masalah penglihatan yang boleh berlaku seawal kelahiran disebabkan faktor genetik. Namun di zaman ini, kerosakan mata kanak-kanak banyak berlaku disebabkan faktor luaran, iaitu pendedahan mata kepada skrin TV mahupun peranti elektronik seperti handphone.


Mana tidaknya, sana sini kita tengok anak-anak makin asyik dengan Ipad dan handphone walaupun masih menghisap botol susu! Perkara ini sebenarnya amat membimbangkan kerana ia boleh menyumbang kepada kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan mata anak-anak kecil ini.


Antara kerosakan mata yang sering dialami oleh anak-anak yang terdedah kepada skrin terlalu lama adalah:


  • Kabur penglihatan
  • Mata kering
  • Rabun jauh (miopia)
  • Kerosakan saraf mata
  • Tanda rabun pada anak

2. TANDA AWAL KABUR PENGLIHATAN PADA KANAK-KANAK

Menurut portal MyHealth, ini 11 tanda kabur penglihatan pada kanak-kanak yang perlu ibu bapa peka, antaranya


  • kedudukan kepala yang senget ketika memfokus (contohnya ketika membaca atau menonton TV) juling
  • mengadu melihat objek menjadi dua (double vision)
  • membaca atau menulis pada jarak yang terlalu dekat
  • kesukaran menulis atau menyalin semula apa yang ditulis oleh cikgu di papan hitam / putih
  • kerap meniru kawan kerana tak nampak apa yang ditulis atau ditunjukkan oleh cikgu di hadapan
  • suka menonton TV dari jarak dekat
  • selalu menggosok mata dan kerap mengerdipkan mata walaupun tidak mengantuk
  • sensitif terhadap cahaya, mata kerap berair
  • menutup sebelah mata untuk memfokus pada benda yang ingin dilihat dengan jelas
  • mengadu sakit kepala / penat bahagian mata
  • sukar menganggarkan jarak

3. MULAKAN PEMERIKSAAN RUTIN SEAWAL 3 TAHUN

Sewaktu lahir, mata manusia hanya 70% matang dan 30% lagi akan berkembang seiring usianya. Mata anak kecil juga sensitif dan mudah tercedera. Maka, ibu bapa dinasihatkan supaya memerhatikan tingkah laku penggunaan mata kanak-kanak seawal 6 bulan untuk mengesan sebarang masalah penglihatan.


Seawal usia 3 tahun lagi, ibu bapa seharusnya membawa anak menjalankan pemeriksaan mata secara rutin bagi menyaring sebarang masalah mata atau masalah refraktif.

4. AMALKAN 20-20-20

Bagi mencegah kerosakan mata, ibu bapa perlu memahami kaedah 20-20-20 iaitu :


  • Berhenti dan berehat daripada melihat skrin untuk setiap 20 minit
  • Pastikan anak-anak melihat sesuatu yang jaraknya lebih kurang 20 kaki selama 20 saat,
  • Jaga jarak penglihatan dan pencahayaan yang cukup.

5. RAWATAN

Pemeriksaan komprehensif optometris dapat mengenalpasti masalah fungsi visual anak anda kerana ada beberapa jenis rawatan yang perlu disesuaikan dengan masalah yang dialami.


Contohnya anak anda mungkin akan dibantu melalui preskripsi cermin mata atau terapi visual.

6. PAKAI CERMIN MATA TAKKAN MENYEBABKAN RABUN BERTAMBAH

Sesetengah ibu bapa tidak menyangka anak mereka yang masih kecil sudah memerlukan cermin mata untuk melihat. Bahkan ada yang mengelak daripada membenarkan anak memakai cermin mata kerana risau power cermin mata akan bertambah.


Ini adalah mitos yang perlu diperbetulkan dan ianya tidak benar sama sekali.


Sebaliknya, jika anak tidak mengenakan cermin mata seperti yang dinasihatkan, mata akan mengalami lebih tekanan untuk melihat sesuatu objek dengan lebih jelas.

7. RABUN JAUH BOLEH MENJADI SEMAKIN SERIUS KETIKA DEWASA

Di Asia sahaja, didapati 70-87% daripada kanak-kanak di sekolah dan golongan belia dilaporkan mengalami rabun jauh. Kadar peningkatannya bertambah setiap tahun dan apa yang menakutkan, 24% daripada populasi rabun jauh ini akan mengalami rabun jauh yang lebih serius sewaktu dewasa.


JANGAN AMBIL REMEH


Ibu bapa perlu sedar bahawa peningkatan rabun jauh di kalangan kanak-kanak merupakan isu yang semakin melarat di serata dunia. Masalah penglihatan ini bukan saja boleh mengehadkan kemampuan fizikal anak, tetapi ia mungkin akan menjejaskan pembelajaran mereka.


Jadi ibu ayah jangan ambil remeh. Pantau dan selia penggunaan gajet anak-anak kita mulai hari ini ya!

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *